Tuesday, April 26, 2011

Ceramah Tn Hj Mohamad Sabu di Markas Sg Itau panas!!!


Jangkaan penganjur ceramah Tn Hj Mohamad Sabu akan mendapat gangguan pihak polis ternyata menjadi kenyataan apabila sepasukan polis bertindak mengganggu kelancaran ceramah yang telah dianjur. Pihak polis juga mengadakan sekatan jalan raya di kedua-dua laluan ke tempat ceramah. Pihak PAS Kawasan Langkawi diketuai oleh Yang Dipertuanya Sdr Zubir Ahmad telah berjaya menyelesaikan gangguan tersebut melalui perbincangan bersama pegawai polis yang bertugas.

Tn Hj Mohamad Sabu menyentuh beberapa perkara antaranya berkaitan bahaya pencabulan demokrasi yang sedang dilakukan pihak UMNO/BN dengan mempergunakan seluruh agensi kerajaan termasuk SPR, PDRM, RTM dengan menggembelingkan seluruh media arus perdana menentang pembangkang. Politik ala 'jakun' yang cuba dibawa UMNO/BN menyebabkan rakyat semakin buta politik dan ketinggalan dalam setiap perkara. Beliau mengambil contoh demokrasi di negara barat walaupun mereka bukan beragama Islam tetapi etika masyarakat barat khususnya pemerintah sentiasa menghormati demokrasi. Parti memerintah memberi kebebasan kepada rakyat khususnya dalam mendapatkan informasi telus dari saluran media arus perdana termasuk TV dan Surat Khabar. Berbeza dengan negara-negara tertentu termasuk Malaysia yang mengongkong dan mempergunakan media untuk kepentingan survival politik parti pemerintah.

Penceramah pada malam itu turut disertai Pengerusi PKR Kedah Dato' Wan Salleh Wan Isa dan YDP PAS Langkawi Sdr Zubir Ahmad. Majlis ceramah tamat tepat pada pukul 12 tgh malam.

Sunday, April 18, 2010

Penyerahan Jersi Bola Sepak oleh YDP PAS Langkawi

Sebahagian dari pemain-pemain di Padang Kg Bayas yang turut serta dalam majlis tersebut..

YDP Pas Langkawi Sdr Zubir bin Ahmad menyerahkan jersi dan juga bola kepada ketua pasukan Bayas FC.

Bayas FC..!!

Padang Kg Bayas, 15 Apr - Kelmarin berlangsung majlis ringkas penyerahan jersi bola sepak kepada pemain-pemain Bayas FC bertempat di Padang Kg Bayas. Majlis penyerahan jersi tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi En Zubir Bin Ahmad, manakala pihak Bayas FC diwakili oleh ketua pasukannya. Turut bersama dalam majlis itu MKK Kg Bayas Tn Hj Saman bin Kechik, Naib Ketua Pemuda PAS Langkawi Sdr Zulkifli bin Hj Noh, Pengerusi Lajnah Sukan dan Kebudayaan Dewan Pemuda PAS Langkawi (DPPPL) Sdr Yusof bin Che Rus serta AJK DPPPL.

Para pemain menyatakan kesyukuran serta berterima kasih di atas sumbangan YDP PAS Kawasan Langkawi itu dan berharap pihak PAS dan kerajaan negeri akan sentiasa mengikuti perkembangan serta mengambil berat aktiviti dan kegiatan sukan yang membabitkan remaja dan belia di Daerah Langkawi.

Saturday, March 6, 2010

Pelancaran Gerak Kerja Pilihanraya ke-13


Oleh : Rahimin Affandi Zakaria
Kompleks PAS Kedah, 6 Mac - 'Satu Permulaan yang baik'. Itulah yang dapat disimpulkan dalam majlis Pelancaran Gerak Kerja Pilihanraya Umum ke-13 yang diadakan tepat jam 10 pagi di Kompleks PAS Kedah, Batu 9, Jalan Alor Setar - Sg Petani. Kehadiran sejumlah kira-kira 5 - 6 ribu hadirin sudah cukup membayangkan betapa seriusnya jentera pilihanraya Kedah bagi menghadapi BN dan juga bagi mempertahankan kerajaan negeri Kedah dalam pilihanraya umum yang akan datang. PAS Kawasan Langkawi tidak ketinggalan menghantar beberapa wakil Pemuda dan juga AJK Kawasan ke majlis tersebut.

Majlis dihadiri Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, YB Dato' Paduka Hj Abd Halim bin Abd Rahman dan Majlis Perasmian Gerak Kerja Jentera Pilihanraya Umum ke-13 disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Ustaz Azizan bin Razak dengan gimik pelancaran yang sangat menarik dan mengujakan. Turut hadir Kapten Zamri yang mewakili PKR Negeri Kedah. YB Dato Paduka Hj Abd Halim memberikan beberapa pesanan dalam ucapan beliau kepada seluruh jentera Pilihanraya di negeri Kedah, antaranya beliau amat mengharapkan jentera di negeri ini menggiatkan usaha menambah daftar pemilih baru serta menggandakan usaha memujuk pengundi-pengundi muda yang mengundi PAS pada pilihanraya yang lalu untuk terus mengundi PAS dalam pilihanraya yang akan datang.

Majlis diakhiri tepat jam 1.00 tengahari dan jamuan disediakan oleh pihak penganjur.

Kontinjen Langkawi yang tiba lewat terpaksa berdiri disebabkan tiada tempat duduk yang kosong, dewan dipenuhi hadirin sekitar 5-6 ribu orang..

Pemandangan yang sangat mengujakan, bukti kesungguhan jentera Pilihanraya Umum ke-13 PAS Kedah sudah bersedia bekerja..

Ceramah Markas Baru Bayas.


Bayas, 4 Mac - Semalam diadakan ceramah penerangan isu-isu semasa yang disampaikan oleh YB Dato' Ir Hj Amirudin bin Hamzah, exco kerajaan negeri Kedah. Sebelum itu ucapan aluan dari MKK Bayas Tn Hj Saman Awang Kecik, Sdr Zubir bin Ahmad YDP PAS Langkawi dan juga wakil dari pimpinan PKR Langkawi Pak Wan Salleh mengambil tempat di pentas utama ceramah.

ISU PENGKORPORATAN BEKALAN AIR

Isu utama yang disentuh oleh YB Dato ialah berkaitan dengan urus tadbir semasa kerajaan negeri Kedah serta cabaran-cabaran semasa yang dihadapi oleh kerajaan pimpinan PAS di negeri Kedah. Beliau memaklumkan beberapa isu terkini antaranya berkaitan dengan dakwaan kononnya penswastaan Jabatan Bekalan Air Kedah menjadi Syarikat Air Darul Aman (SADA), menurut beliau walaupun pengurusan serta kaedah urus tadbir JBA Kedah telah dikorporatkan ini bukan bermakna kerajaan negeri sudah tiada kuasa terhadap pengurusan air di negeri ini malah menurut beliau SADA yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 dimiliki penuh oleh Perbadanan Menteri Besar Kedah yang juga milik Kerajaan Negeri Kedah seratus peratus. Menurut YB Dato tidak timbul soal kenaikan tarif air kerana kerajaan negeri masih mengekalkan kadar tarif yang lama iaitu RM 0.40/meter padu, walaupun menurut beliau sudah 27 tahun kadar itu tidak dinilai semua dan merupakan kadar yang kedua termurah di negara ini.

PERUMAHAN AWAM

Isu yang disentuh oleh YB Dato pada malam itu juga isu yang hangat diperkatakan iaitu berkaitan pungutan hutang rumah kos rendah Perumahan Awam Taman Wira Mergong oleh kerajaan negeri yang sudah tertunggak mencecah RM 24 juta. Menurut beliau kerajaan negeri sudah membuat beberapa kajian dan mendapati pembeli-pembeli rumah tersebut sengaja tidak mahu melunaskan ansuran bayaran pembelian rumah itu kepada kerajaan negeri. Ini akan membantutkan usaha kerajaan untuk menggunakan sejumlah wang yang tertunggak itu untuk pembinaan rumah kos rendah yang lain di setiap daerah. Beliau juga memaklumkan permohonan untuk rumah kos rendah di negeri Kedah mencecah 20 000 permohonan.


En Zubir bin Ahmad, YDP PAS Kawasan Langkawi sedang menyampaikan ucapan..

YB Dato Ir Amirudin bergambar bersama pimpinan serta ahli Kelab Penyokong PAS Langkawi yang turut serta dalam majlis ceramah semalam..

Monday, March 1, 2010

Sumbangan Al-Quran untuk Kelas KAFA Kg Teluk.


Ulu Melaka, 1 Mac - Kedaifan kelas KAFA Surau Kg Teluk, Ulu Melaka mendapat perhatian YDP PAS Kawasan Langkawi, En Zubir bin Ahmad. Kelas KAFA yang serba daif dengan menjadikan kaki lima surau sebagai tempat pembelajaran sewajarnya diambil perhatian oleh pemimpin setempat. Pihak PAS Kawasan Langkawi yang diketuai oleh En Zubir bin Ahmad setakat ini telah berjaya mengambil beberapa inisiatif membantu dan berjanji akan berusaha untuk membantu sedaya upaya yang mungkin bagi memberikan keselesaan kepada murid-murid di kelas tersebut. Dalam lawatan beliau ke sana kelmarin beliau telah menyerahkan 100 naskhah Al-Quran hasil sumbangan seorang hamba Allah untuk kegunaan surau dan juga murid-murid yang terlibat dengan kelas tersebut.

En Zubir menyerahkan Al-Quran kepada wakil murid sambil disaksikan oleh guru..

Menurut En Zubir, dalam masa terdekat ini pihak beliau sedang dalam usaha untuk menyediakan kerusi yang selesa serta mencukupi untuk kegunaan murid-murid dan beliau amat mengharapkan ada pihak-pihak yang sudi membantu usaha beliau itu. Pihak-pihak yang berminat untuk menyumbang bolehlah menghubungi beliau di pejabat PAS Kawasan Langkawi di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Ulu Melaka atau melalui email http://lppklangkawi@gmail.com/.

Kelas pembelajaran terpaksa diadakan di kaki lima surau

En Zubir juga menyerahkan makanan ringan kepada guru berupa roti dan air kotak hasil sumbangan seorang individu bagi diedarkan kepada murid-murid..

Saturday, February 27, 2010

Ceramah YB Nasir Mustafa dan YB Nasir Zakaria..


Ranggut, 26 Feb - Program penerangan isu semasa yang menjadi tugas utama Lajnah ini diteruskan lagi dengan ceramah isu semasa oleh YB Mohd Nasir Mustafa yang merupakan ADUN Kubang Rotan dan YB Mohd Nasir Zakaria yang merupakan Ahli Parlimen Padang Terap. Majlis ceramah ini diadakan di Sekolah Menengah Agama Al-Baqiyyatussolihat, Ranggut yang menjadi lokasi ceramah baru bagi kawasan Langkawi. Kehadiran YB Ustaz Mohd Nasir Zakaria ke Langkawi lebih awal telah dimanfaatkan oleh warga Langkawi apabila beliau diminta untuk menyampaikan kuliah jumaat di Masjid Ar-Rahman, Kedawang dan seterusnya menjadi khatib membaca khutbah di masjid yang sama. Dalam ceramah yang berlangsung semalam Ketua Pemuda PAS Langkawi, Ustaz Suhairul Saad telah bertindak sebagai pengendali majlis. Beberapa isu terkini telah dikupas oleh kedua-dua penceramah terutama perkara berkaitan dengan perjalanan perbahasan di Dewan Undangan Negeri dan juga di Parlimen.

Pada program semalam juga urusetia ceramah yang terdiri dari jawatankuasa Lajnah Penerangan, Dakwah dan ICT PAS Langkawi telah menayangkan melalui layar besar berkaitan Bajet Kerajaan Kedah Sejahtera 2010 yang diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah. Tayangan tersebut diharap dapat memberi maklumat serta info terkini berkaitan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri. Usaha penyebaran maklumat ini akan dilakukan dari masa ke semasa dalam pelbagai cara bagi memberi maklumat kepada warga Langkawi tentang isu serta info semasa berkaitan dengan kerajaan negeri.

Apalah agaknya yang dibincang dengan begitu serius oleh dua orang Nasir ini...

Ceramah Us Nasir Zakaria yang sarat dengan info politik semasa serta penuh penghayatan terhadap perjuangan Rasulullah bersempena dengan Maulidur Rasul tahun ini..

Followers